Monday, March 10, 2008

Perjuangan masih belum selesai


Assalamualaikum,

Syukur alhamdulillah, kerana selepas penat lelah 3 minggu berkempen tanpa pertolongan sebarang sumber media utama negara, akhirnya janji Allah telah diturunkan jua di Kedah khususnya dan di 3 buah negeri yang lain iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Bagai berjanji pula apabila melihat satu persatu negeri dari utara(Kedah) hingga ke tengah pantai barat Malaysia tumbang satu persatu kepada parti-parti pembangkang dalam pilihanraya kali ini. Tegak bulu roma saya, cering tengkuk saya, sebak dada saya bila melihat updat-update di laman web Malaysiakini pada malam pengiraan undi. Dalam hati saya, saya hanya berdoa agar Kelantan tidak jatuh ke tangan BN. Selepas bapa saya menerima sms yang mengatakan bahawa 30 000 lagi pengundi hantu masuk ke Kelantan di saat-saat akhir proses membuang undi, hati saya sudah menangis. Menangis membayangkan kejatuhan sebuah kerajaan yang memperjuangkan dasar Islam. Saya sudah membayangkan konsert besaran-besaran yang bakal diadakan di Kota Bharu bagi meraikan kejayaan besar Umno dan Barisan Nasional yang berjaya menawan kembali Kelantan selepas 18 tahun. Maksiat di sana sini, masjid menjadi sunyi kembali dan berbagai-bagai lagi di dalam lubuk kepala saya pada petang hari mengundi tersebut. Hilang semua selera makan saya.

Tapi apabila menerima SMS selepas menunaikan solat maghrib yang mengatakan Pas masih memerintah di Kelantan dan menang majoriti mudah, saya terkesima. Lantas dibuka saya laman web Malaysiakini dan sah, tulisan merah 'Kelantan retained' akhirnya melapangkan seluruh tubuh badan saya. Kemudian disambut pula dengan khabar Pulau Pinang sedang ditakluk DAP dan PKR. Saya semakin berdebar. Reda sekejap dengan berita kejayaan Kelantan dan Pulau Pinang, tiba-tiba saya terbaca berita yang pembangkang sudah menawan Kedah. Subhanallah. Hati saya sebak bercampur gembira. Walaupun tidak secara rasmi lagi, tapi saya tahu hanya penipuan dengan pengiraan semula dan penambahan jumlah undi pos sahaja yang boleh menterbalikkan keputusan undian tersebut. Tidak terjangka saya yang Pas dan parti pembangkang yang lain berjaya menawan juga Kedah. Walaupun saya orang Perlis tetapi sebagai negeri berjiran, saya sangat gembira. Paling tidak selepas ini tidak perlulah saya susah-susah untuk merentas banjaran Titiwangsa untuk ke Kelantan semata-mata mahu melihat syiar islam dikuatkuasa di sebuah negara yang mengamalkan sekularisme.

Tapi yang paling mengejutkan saya apabila PKR menjadi superstar di Selangor dan Wilayah Persekutuan bersama-sama Pas dan DAP. Kebangkitan rakyat yang selama ini diperlekehkan oleh Pak Lah yang memandang sinis keupayaan PKR sebagai parti yang masih mentah akhirnya terpalit di muka sendiri. Mana tidaknya, sudahlah 5 negeri terlepas, majoriti di Parlimen sendiri pun dah berkurang 7000. Itu pun kepada seorang yang tidaklah mempunyai nama sangat dalam arena politik Malaysia ini sehingga nyaris-nyaris dibatalkan pencalonan gara-gara hendak mengutip derma bagi tujuan berkempen. Kepada PakLah, anda patut berasa malu kerana 7000 dari majoriti lama anda sudah diambil oleh seorang yang anda labelkan sebagai peminta sedekah. Tapi yang menarik perhatian saya ialah calon DAP di Seputeh, Teresa Kok yang menang dengan majoriti yang cukup cukup besar iaitu 36 600! Andai kata beliau bertanding di Parlimen yang mempunyai 36 600 pengundi, maka beliau tidak meninggalkan sedikit pun kepada pihak lawan, malah pihak lawan beliau sendiri pun memangkah beliau jika berlaku keadaan yang sedimikian.

Kebangkitan rakyat

Di sini kita sudah boleh melihat kebangkitan rakyat dan suara generasi muda yang selama ini diperlekehkan kerana kerajaan menganggap mereka masih mentah, tidak tahu selok belok dalam hal negara dan pastinya kerana mereka semua masih belum mengundi, jadi mereka yang belum mengundi, belum layak untuk risau berkaitan hal-hal politik negara, Tapi nah, sekarang lihatlah. Kami sudah mengundi, dan kami sememangnya layak untuk bercakap mengenai masa depan negara kami sendiri. Ini bukan negara untuk sebuah keluarga Perdana Menteri semata-mata, ini negara rakyat dan sekarang rakyat sudah bersuara. Rakyat sudah mual dan bosan melihat muka-muka kempipinan yang sama dari dulu lagi. Kalau ada perubahan, tidak mengapa. Ini tidak, asyik-asyik dijanjikan dengan pembangunan luaran sahaja. Kebajikan rakyatnya entah kemana. Tak perlulah nak war-warkan dalam media kalau setakat disumbangkan kepada 2 atau 3 buah keluarga sahaja, tetapi beribu-ribu yang lain hidup melarat. Media hanya dijadikan tempat untuk menabur janji-janji dan bercakap takbur, kononnya hanya Barisan Nasional sahaja yang boleh menjamin keselamatan rakyat, memberi rakyat hidup selesa.

Anda semua kena ingat, anda sebagai pemimpin itu hanya wakil Allah untuk menjadi penghubung antara manusia dengan manusia yang lain (Hablunminnnas) tetapi anda semua lupa dengan hubungan antara manusia dengan Allah (Hablumminallah). Dan semua kekayaan dan hasil bumi yang dinikmati sekarang semuanya dari Allah, bukannya dari Barisan Nasional. Anda hanyalah pengurus hasil Allah ini buat sementara sahaja dan perlu dibahagi-bahagikan kepada semua rakyat yang memerlukan, bukan kepada kroni-kroni dan anak-pinak anda sahaja. Ini semua adalah amanah, dan inilah akibatnya daripada sifat tidak amanah anda itu. Ini hanyalah sedikit kerana anda (Puak-puak Umno dan Barisan Nasional) perlu ingat, anda patut bersyukur kerana masih memerintah negara ini. Allah masih sayangkan anda khususnya Imam Hadhari, kerana Allah masih memberi peluang kepada anda semua untuk berubah kepada jalan yang lurus, mengamalkan hukum-hukum Allah dan memperjuangkan Islam dari dasar dan keseluruhannya, bukan hanya Islam pada perkara-perkara yang menguntungkan anda sahaja. Kalau anda semua kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, kami di pihak Pas ini tidak akan membangkang sama sekali perjuangan anda, malah kami akan mencurah segala tenaga kami untuk membantu perjuangan anda kerana perjuangan kami adalah perjuangan menegakkan Islam tetapi ironinya, perjuangan kami ini dijuangkan di bumi bernama Malaysia, sebuah negara Islam. Janganlah sayang kepada pangkat dan harta kerana semua ini hanyalah beban untuk menghumban anda ke dalam neraka jika anda gagal melaksanakan amanah yang diberi. Pas tidak pernah bertelagah untuk pangkat dan untuk menjadi calon dalam pilihanraya, malah kami menolak kepada yang benar-benar layak sahaja kerana ini adalah amanah, dan amanah ini sangat berat.

No comments: