Monday, March 10, 2008

Bahana majoriti 2/3


Assalamualaikum,

Kali ini saya ingin membicarakan berkaitan isu 2/3 di dalam dewan negara. Mengapa penting 2/3 majoriti dalam membentuk satu kerajaan? Jawapannya kita sudah sedia maklum. Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk melancarkan dan meluluskan sesuatu usul yang diketengahkan dengan senang dan tanpa gangguan agar proses pembangunan negara berjalan lancar.

Tetapi sedarkah kita yang majoriti 2/3 inilah sebenarnya yang memakan diri rakyat dan menguntungkan mereka-mereka yang mempunyai niat di sebalik perlaksanaan pelbagai projek-projek mega selama ini? Relevannya adalah kerana disebabkan majoriti 2/3 inilah kerajaan dengan sewenang-wenangnya meluluskan pelbagai projek mega yang mana sebahagian dari keuntungan yang dikaut melalui projek-projek ini dimasuk ke poket mereka sendiri. Dan perkara ini semakin meruncing bila mana Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah telah memenangi pilihanraya 2004 dengan cemerlangnya apabila menyapu 199 daripada 219 kerusi yang dipertandingkan menjadikan 20 ahli parlimen yang bertindak selaku pembangkang di dalam dewan hanya sebagai pemerhati dewan parlimen sahaja. Segala apa usul yang dicadang akan diterima, jika ada bantahan sekalipun apakan daya, suara 20 orang tidak dapat menandingi suara 199 yang lain. Kerajaan mencanang kepada rakyat selepas menang cemerlang pada 2004 yang mana pilihan rakyat adalah betul dan mereka akan memastikan tidak akan ada halangan dalam pemerintahan negara. Nah, ternyata semuanya menjadi kenyataan. Harga minyak naik sehingga tidak terkawal. Bantahan rakyat hanya datang dari 20 suara ini sahaja. Apakan daya hendak melawan dengan 199 yang lain. Suara pembangkang adalah suara rakyat. Mana-mana yang rakyat tidak puas hati disalurkan kepada suara pembangkang kerana suara yang bertindak selaku kerajaan dalam parlimen selalunya tidak ada fungsi melainkan berkata 'Ya, Dato Seri, saya setuju'. Jika dibantah, dikatakan membangkang dan secara automatiknya dikatakan berkomplot dengan pembangkang. Silap haribulan, nama sudah tidak naik lagi untuk pilihnraya yang seterusnya.

Jadi di sini terbukti betapa pentingnya jumlah pembangkang yang ramai di dalam dewan negara. Ibarat kata Tuan Guru Nik Aziz, kerajaan tanpa pembangkang ini ibarat kereta tidak ada brek. Pandu laju-laju tapi tidak ada brek tersangatlah berbahaya jika ada halangan di depan. Fungsi pembangkang yang kuat di dalam dewan hanyalah semata-mata untuk memastikan segala usul yang dicadangkan akan diaplikasi secara telus bila di luar. Dalam erti kata yang lain, segala peruntukan yang dicadang dalam dewan akan diteliti secara halus oleh semua ahli dewan termasuk pihak pembangkang bagi memastikan tidak ada penyalahgunaankuasa dan penyelewengan wang-wang ke sumber yang tidak dikenali. Kerana sekarang ini semua peruntukan melibatkan projek yang berjuta-juta. Termasuklah hendak membeli dakwat kekal yang akhirnya dibatalkan penggunaannya dalam PRU 2008 ini. Entah di beli atau tidak kita tidak pasti kerana tidak pernah ditunjuk di mana-mana. Jangan kata dakwat yang ditempah oleh SPR, dakwat yang dikatakan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pun tidak pernah ditunjukkan bukti penyelewengan seperti yang dikatakan oleh ketua polis.

Tetapi sekarang Parlimen negara kita semakin stabil. Suara rakyat akan makin didengari di dalam dewan Parlimen. 82 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara telah berjaya diduduki oleh parti Barisan Alternatif dan menidakkan majoriti 2/3 kerajaan. Jika kerusi-kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak tidak diambil kira, kerajaan sudah tentu kehilangan 52 lagi kerusi Parlimen kerana Sabah dan Sarawak adalah ibarat kemenangan percuma kepada Barisan Nasional memandangkan taraf sosial dan penerimaan berita-berita yang telus dari pihak pembangkang sukar untuk disampaikan. Sekarang kerajaan sudah tidak boleh berbuat sesuka hati mereka lagi. Mereka tiada hak lagi untuk meluluskan sebarang projek yang tidak menguntungkan rakyat. Dan yang terbaru kerajaan DAP dan parti pembangkang yang lain di Pulau Pinang akan menimbangkan semula samada untuk membatalkan projek mega yang bernilai 20 billion yang diluluskan semasa pemerintahan parti gerakan kerana tidak menunjukkan keuntungan yang boleh disalurkan secara terus kepada rakyat Pulau Pinang. Kewibawaan kerajaan memerintah sudah tercalar di sini dan mereka teros memeningkan kepala mereka untuk memikirkan bagaimana hendak menawan kembali 6 negeri termasuk wilayah persekutuan Kuala Lumpur kerana selama ini mereka hanya perlu menumpukan kepada Kelantan dan Terengganu. Tapi sekarang, mereka di dalam dilema. Pak Lah bakal berulang alik ke 7 buah negeri setiap hari pada pilihanraya umum yang akan datang untuk merampas kembali ke semua negeri-negeri ini termasuk ke Terengganu kerana mereka masih belum selamat di Terengganu yang menyaksikan banyak kerusi terlepas ke tangan PAS.

Tapi apa-apa pon sekarang, Malaysia sudah bersedia untuk menuju ke arah sebuah negara maju dan kaya kerana semua peruntukan bakal dilaksanakan dengan telus dan tidak ada kroni-kroni lagi yang bakal mengaut keuntungan daripada duit rakyat, insya Allah. Berdoalah kita sama-sama agar apa yang diperjuangkan sekarang tidak terhenti di tengah jalan. Wallahualam.

No comments: