Thursday, October 18, 2007

Tuesday, October 16, 2007

Memahami puasa enam Syawal


Oleh ZUARIDA MOHYIN

DENGAN berakhirnya bulan Ramadan, muncul pula bulan Syawal. Setelah berpuasa sebulan Ramadan, kini umat Islam bebas untuk menikmati juadah di siang hari tanpa sekatan.

Namun ada lagi sebenarnya anjuran dalam Islam agar umat Islam meneruskan ibadah khususnya ibadah puasa. Antaranya puasa enam hari Syawal.

Fadilatnya sabit dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian mengikutinya dengan enam hari pada bulan Syawal, maka (ganjarannya) seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. (Riwayat Tirmizi).

Menurut Pensyarah di Jabatan Syariah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor, Mohammad Nidzam Abd. Kadir, bagi menilai semula amalan puasa enam ini, ada beberapa fahaman yang kurang tepat dalam memahaminya. Antaranya ialah:

Pertama - Puasa enam mesti dimulakan pada 2 Syawal. Sebenarnya, fahaman ini kurang tepat kerana tidak sabit dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w. bahawa ada penentuan bahawa puasa enam mesti dimulakan pada hari kedua Syawal.

Anjuran Islam ialah agar melakukan puasa enam hari sahaja tanpa mewajibkan permulaannya pada hari kedua.

“Kadang-kadang, pada hari raya kedua, tetamu datang berziarah dan anak cucu balik kampung untuk bermesra dengan keluarga di kampung. Oleh itu, tidaklah salah jika puasa enam dilewatkan.

“Malah saya bersetuju segelintir memahami bahawa kalau dilambatkan puasa enam akan menyusahkan kita untuk memulakan puasa enam, maka ia adalah alasan yang munasabah,” katanya.

Kedua - Puasa enam tidak boleh dilaksanakan secara berselang-seli. Fahaman ini kurang tepat kerana tidak ada penetapan demikian dalam Islam. Hadis Baginda s.a.w. hanya menganjurkan agar berpuasa enam hari dalam bulan Syawal sahaja. Hakikatnya ialah harus diselang-selikan puasa enam.

Puasa boleh dimulakan pada 5 Syawal diikuti pula pada 10 Syawal. Begitulah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan tempat.

Ketiga - Puasa enam Syawal itu hukumnya sunat sahaja. Fahaman ini juga kurang tepat. Memanglah diakui bahawa puasa enam sunat hukumnya tetapi orang yang membuat kenyataan begini biasanya adalah manusia yang memandang ringan kepada amalan sunat termasuk puasa enam, sedangkan ganjarannya amat besar.

“Amalan memandang ringan kepada amalan sunat akan membawa kepada meninggalkannya, sedangkan ia mempunyai kepentingan yang besar dalam diari kehidupan seorang muslim.

“Disebut di dalam hadis bahawa amalan sunat ini sebenarnya sebagai pelengkap kepada ibadat fardu. Adakah kita yakin bahawa puasa fardu kita 100 peratus lengkap tanpa ada sebarang kecacatan?” ujarnya lagi.

Mitos

Keempat - Seperkara lagi berkaitan mitos tentang puasa enam ini ialah ia tidak boleh berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Jelasnya, menerusi fahaman ini, hari Isnin dan Khamis sudah mempunyai waktu ibadat puasa yang lain iaitu puasa sunat. Oleh itu, tidak harus jika kedua-dua hari tersebut diisi dengan ibadat puasa enam. Jika hari Isnin, maka puasa sunat Isnin sahaja dibenarkan. Jika hari Khamis, maka puasa sunat Khamis sahaja dibolehkan.

Kelima - Mengutamakan puasa enam berbanding hubungan silaturahim. Terdapat umat Islam yang begitu keras dalam amalan puasa enam. Mereka enggan menghadiri mana-mana kenduri walaupun kenduri perkahwinan sedangkan menghadiri kenduri amat digalakkan dalam Islam. Suasana itu sedikit sebanyak boleh merenggangkan hubungan silaturahim.

“Seorang isteri boleh berpuasa enam Syawal walaupun tanpa izin suami. Inilah adalah fahaman yang bercanggah dengan dasar Islam. Seorang isteri wajib mengutamakan suami berbanding amalan sunat. Oleh kerana puasa enam Syawal hukumya sunat, maka keizinan suami amat penting.

“Jika suami melarang, ketaatan kepada suami adalah wajib. Inilah yang disabdakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada bersamanya melainkan dengan izinnya (suami). (Riwayat Bukhari).

Mohammad Nidzam berkata, amalan yang seelok-eloknya ialah masing-masing berpakat untuk sama-sama berpuasa. Dengan ini, motivasi diri akan lebih kuat untuk berpuasa.

Keenam - Satu kesilapan ketara ialah berfahaman puasa sunat enam Syawal tanpa mengqadakan terlebih dahulu puasa Ramadan. Ini kerana sewajarnya perkara yang wajib lebih diutamakan. Amalan sunat tanpa ada asasnya iaitu amalan fardu tidak memberikan hasil yang baik.

Thursday, October 11, 2007

Kisah Sebenar Penderma Organ


Assalamualaikum wbr,

Semalam, 21 Ramadhan, sewaktu saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah selepas menyelesaikan kes-kes di OT, saya telah mendapat panggilan 'donor procurement'daripada hospital Ipoh . Penderma adalah seorang Muslim 15 tahun, diagnosed brain death 11 am, selepas severe head injury akibat kemalangan jalan raya.

Persiapan rutin mengambil masa beberapa jam dan kami sampai di hospital Ipoh menggunakan penerbangan RMAF pukul 8 mlm. Selepas sampai di Hospital Ipoh barulah saya mengetahui cerita sebenar.

Penderma merupakan seorang pelajar Maahad Tahfiz yang sedang menduduki peperiksaan PMR, baru 2 paper. Dalam perjalanan pulang dari sekolah menunggang motorsikal, beliau telah dilanggar lori dan mengalami severe head injury. Selepas berusaha untuk menyelamatkannya gagal dilakukan, pihak Hospital Ipoh telah bertanyakan kemungkinan menderma organ-organ tubuhnya kepada kedua ibubapanya.

Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, penderma dikalangan orang Islam adalah yang paling rendah sekali, dan sepanjang saya bertanggung jawab terhadap program 'donor procurement' 4 tahun kebelakangan ini tidak pernah saya berjumpa dengan penderma Muslim. Ini adalah kali pertama persetujuan menderma diperolehi dengan mudah daripada sebuah keluarga Muslim.

Apa yang membuatkan saya termenung sejenak dan bermuhasabah diri adalah apabila mendengarkan alas an yang diberikan oleh si bapa. Alasannya, sekiranya anaknya tidak dapat hidup untuk berbakti kepada agama dan masyarakat, biarlah organ-organnya memberi nyawa kepada yang memerlukan, mudah-mudahan penerima organ-organ tersebut akan dapat berbakti kepada agama dan masyarakat.

Sahabat sekelian, teringat saya kepada cerita pengorbanan para sahabat di zaman RasuluLah, yang sanggup mengorbankan nyawa anak-anak mereka demi perjuangan Islam. Dan dalam hal ini, bukan sahaja si anak tersebut terkorban dijalan Allah (menuntut ilmu) akan tetapi organ-organya juga terus berbakti untuk umat manusia.

Sahabat sekelian, sewaktu bertarawikh di celah-celah almari baju di OT Hospital Ipoh , saya termenung dan berfikir; sejenak saya merasa bangga kerana masih ada dikalangan ornag Islam yang berjiwa besar seperti ini.

Sejenak pula saya merasa sedih, kerana lebih ramai lagi umat Islam yang berjiwa pengecut dan enggan melakukan pengorbanan. Saya bertanya pada diri sendiri, sekiranya perkara yang sama berlaku kepada anak-anak saya sendiri, sanggupklah saya memberikan consent untuk pendermaan organ? Alangkan untuk menyumbangkan sedikit harta wang ringgit pada jalan Allah pun saya amat

keberatan inikan pula anak-anak yang saya cintai.

Apakah ini nilai yang saya pegang sebagai pejuang Islam? Alangkah malunya saya di hadapan Rabbul Jalil.

Proses 'harvesting' berjalan dengan amat lancer. Malah sepanjang 4 tahun saya melakukan tugasan 'harvesting' inilah kali pertama proses berjalan dengan amat lancar. Seolah-olah menandakan keredhaan si penderma dan ahli keluarga beliau keatas organ-organ yang didermakan.

Sahabat sekelian, marilah kita membacakan sepotong Al-Fatihah untuk roh simati, Mudah-mudahan rohnya diterima Allah sebagai roh orang-orang yang mati syahid. AlFatihah.

Bagaimanakah pula dengan kita? Apakah kesudahan kita adalah dengan kebaikan?

Mudah-mudahan kita dapat mempunyai kekuatan sebagaimana kekuatan si bapa yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk tujuan kebajikan.

Wallahu 'alam.

Dr. Suhaini Kadiman

Thursday, October 4, 2007

Rebut Peluang Pengampunan di Malam Lailatul Qadar


Oleh Dato’ Dr Haron Din

Ramadan adalah bulan yang terbaik, penghulu segala bulan yang sama dengan hari Jumaat, penghulu segala hari. Ia merupakan anugerah Allah kepada insan muslim agar mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan kerja taat kepada Allah untuk memperolehi anugerah tambahan-Nya atau bonus agung-Nya dengan menjanjikan Lailatul Qadar yang biasanya akan jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir.

Mungkin inilah yang disebut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadis yang bermaksud: Alangkah hairannya, bagi orang yang dianugerahkan umur sehingga selesai satu Ramadan tiba-tiba ia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

keampunan itu merupakan satu anugerah yang dijanjikan kepada orang yang benar-benar menjadikan Ramadan sebagai bulan ibadah khusus kerana Allah. Di samping mengharapkan keampunan.

Nabi juga pernah sebut dalam hadis: “sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya.”

Lebih khusus daripada itu, kita lihat kepada tarbiyah yang ditarbiyah Rasulullah kepada umatnya menerusi satu hadis sahih.

Daripada Aishah r.a dengan pesannya,”wahai Aishah, sekiranya kamu ditemukan Allah dengan malam Qadar, maka perbanyakkan doa memohon kepada Allah yang ditentukan perkara yang hendak dicapai dalam doa itu ialah : Ya Allah ! Kamulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mulia, Ampunkanlah dosa saya.”

Tarbiyah yang dimaksudkan itu dengan meletakkan pengharapan yang begitu tinggi, agar kesalahan, ketelanjuran atau kesengajaan, Allah akan terima pengampunannya pada 10 malam akhir Ramadan, akan diampunkan dosa.

Jelas kelihatan bahawa yang amat perlu dipohon kepada Allah ialah penghapusan dosa dan bukan kemanfatan duniawi seperti memohon kekayaan, kemenangan menghadapi musuh, kehebatan dalam kerjaya atau apa sahaja yang namanya hambatan dunia. Semuanya itu tidak penting berbanding dengan keampunan dosa.

Kerana jika diamati akan ternampak kehebatan pencapaian manusia dalam kehidupan ini bukannya kejayaan bersifat sementara.Kehebatan yang agak sementara, akan tetapi kehebatan Allah dengan penghapusan dosa adalah suatu impian dan pencapaian yang begitu tinggi kerana itulah maka fokus utama setiap muslim ialah hari-hari akhir 10 malam ini.

Menjadi satu fokus ke arah meletakkan nilai diri insan yang semata-mata untuk mendapat keredaan Allah. Sekiranya matlamat keredaan Allah itu sudah dicapai, maka tercapailah kemuncak daripada tujuan sebenar manusia ini diciptakan Allah yang akhirnya kepada Allah sahaja tumpuan hidup semua makhluk bagi mendapat reda Allah.

Janji-janji Allah pada hamba-Nya

Ramadan juga merupakan bulan muhasabah untuk kita melihat sekadar mana daya juang kita dalam menangani cabaran penghidupan khususnya cabaran untuk menanggung dan menyempurnakan amanah Allah yang telah dipikulkan ke atas mereka suatu tugas untuk martabatkan agama Allah melainkan dengan usaha berterusan mengharungi suatu perjuangan menentang segala halangan bagi meletakkan kegemilangan Islam di tengah penghidupan yang semakin mencabar.

Lebih-lebih lagi di hari-hari yang sedang kita lalui ini. Di mana umat Islam seolah-olah dijadikan mangsa kepada kegelojohan musuh-musuh Islam yang dari dulu mencari peluang untuk mengganyang umat Islam.

Suasana akhir-akhir ini, selepas tragedi 11 September 2001 seolah-olah menghalalkan untuk mengambil apa sahaja tindakan ke arah pengganyang umat ini dan sekaligus hendak membenarkan Islam itu dari terus wujud di maya pada ini.

Tetapi yakinilah wahai saudara yang seagama denganku bahawa Allah telah menjanjikan suatu ‘madah’ yang akan menjadi perangsang untuk pejuang-pejuang Islam khasnya di akhir-akhir Ramadan dengan ayat Allah yang bermaksud : “mereka itu musuh-musuh kamu hendak menghapuskan cahaya Allah, agama Islam dengan pelbagai usaha mereka tetapi Allah tidak membiarkan mereka berbuat demikian, dan Dia (Allah) akan menyempurnakan agama kamu dan memenangkan meskipun dibenci oleh orang-orang musyrikin.”

Janji-janji seperti ini jelas diterangkan dalam al-quran seperti dalam surah Annur ayat 55 yang mafhumnya : ” Allah berjanji dengan kamu yang beriman denganNya. akan diangkat mereka menjadi khalifah (pemerintah) seperti mana Allah telah mengangkat angkatan-angkatan sebelum daripada angkatanmu pemerintah bumi Allah dan pada ketika itu segala perkara huru hara yang berlaku akan digantikan dengan keamanan yang sebenar. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutuiNya. Dan sesiapa yang tidak percaya dengan janji sedemikian itu, mereka itu ialah orang-orang yang fasiq.”

Oleh itu, maka Ramadan yang bakal tinggalkan kita ini amat berguna lagi kalau diisinya dengan pengorbanan harta benda bagi membantu perjuangan sebagaimana lambang kewajipan fitrah yang diwajibkan kepada setiap individu yang hidup sepanjang Ramadan hingga mencecah menemui awal Syawal.

Pun demikian keseluruhan umat Islam mengeluarkan kewajipan fitrah mereka pada beberapa hari terakhir Ramadan. Hampir berlaku orang yang semata-mata sengaja tidak tunggu kedatangan syawal barulah hendak menunaikan kewajipan zakat fitrah.

Amalan mengawali membayar zakat fitrah adalah petunjuk kepada wujudnya ibadah ‘maliyyah’ walaupun sedikit tetapi seboleh-bolehnya pengorbanan harta ini dibuat sebanyak yang mungkin bagi mengejar ganjaran yang sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi jika sekiranya pengorbanan harta itu dilakukan pada malam Qadar atau setidak-tidaknya berlaku dalam bulan Ramadan.

Maka semuanya itu menyaksikan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba Allah yang cukup beruntung memanafaatkan kedatangan Ramadan dengan amal-amal yang berguna untuk diri kita khususnya di saat kita menemui Allah di hari akhirat nanti.

Wednesday, October 3, 2007

10 Amalan yang terbalik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
  1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
  2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap Assalamu'alaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
  3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
  4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
  5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
  6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
  7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
  8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
  9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
  10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Tuesday, October 2, 2007

Iklan Aidilfitri TV3 2007

Khusyuk dalam Solat


Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

Pelihara solat besar ganjaran

SOLAT adalah rukun kedua yang menjadi teras terbinanya Islam dan ia dinisbahkan sebagai tiang agama yang bukan saja perlu dipercayai, malah berkewajipan bagi umat Islam melaksanakannya dalam sebarang keadaan.

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103)

Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud:

Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud:

Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya.

Katanya,

Solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud:

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Monday, October 1, 2007