Saturday, May 5, 2007

Insafi kejadian tuhan

Assalamualaikum wbt.

Tergerak hati saya untuk menulis artikel ini apabila saya terjumpa sebuah halaman dari internet yang membincangkan berkaitan dengan gambar-gambar yang menunjukkan kekuasaan Allah swt. Halaman ini pada pendapat saya bukanlah halaman yang ditulis oleh orang muslim, sebaliknya ditulis oleh bukan islam tetapi ditujukan untuk orang islam dalam bentuk pemikiran logikal bagi mengaburi akal umat islam dalam menidakkan kekuasaan Allah dan petunjuk-petunjuk dari-Nya. Terdapat banyak gambar yang membincangkan tentang kalimah-kalimah Allah yang terbentuk di sekitar alam ini yang dirakamkan secara tidak sengaja dan dijadikan sebagai kontroversi. Bagi golongan bukan muslim, mereka melihat gambar-gambar ini sebagai satu ancaman kepada mereka kerana daripada gambar-gambar inilah diberitakan ramai golongan kafir yang memeluk Islam atas dasar kagum dengan kekuasaan Allah. Sejauh mana kebenaran berita ini saya tidak pasti. Wallahualam. Tapi berdasarkan komen-komen yang diberikan oleh golongan yang berlandaskan kepada saintifik dan logik ini, hiba hati saya apabila mereka menghina Allah dan umat islam hanya berlandaskan kepada gambar-gambar ini sahaja. Bagi mereka yang lemah imannya, apabila membaca satu persatu komen yang ditulis oleh golongan ini, pasti akan membenarkan serba sedikit apa yang dikatakan oleh mereka. Sebagai contoh saya petik komen mereka berkaitan gambar ketika gempa bumi di turki yang memusnahkan banyak rumah-rumah, bangunan dan nyawa manusia tetapi masjid-masjid yang berada di sekeliling kawasan yang musnah itu tetap berdiri utuh tanpa terusik langsung oleh kesan gempa itu. Bagi mereka, mereka menidakkan yang rumah-rumah ibadat ini termasuklah gereja dibina oleh arkitek-arkitek yang hebat dan tidak mudah runtuh. Namun Allah itu maha berkuasa. Dia berkuasa untuk memusnahkan atau merosakkan bumi milik-Nya mengikut norma akal manusia tetapi Dia jugalah tuhan maha bijaksana. Allah memberi petunjuk kepada hamba-hambaNya dalam keadaan yang berbeza-beza dan mungkin gambar ini adalah salah satu dari petunjuk dari Allah kepada umatNya yang hatinya masih belum buta untuk menerima jenis kekuasaan Allah yang sedemikian. Jelas di sini Allah hanya ingin mengajak umatNya berfikir bahawa masjid ini adalah rumah Allah yang suci dan Allah akan melindungi rumahNya dari segala malapetaka yang menimpa. Itu adalah di bawah kekuasaanNya dan kita sebagai umat Islam perlulah membenarkan kekuasaan Allah ini dengan seikhlas-ikhlasnya tanpa perlu berdalil dari segi logik mahupun dari segi binaan atau apa-apa yang hanya pada batas akal sahaja.

Kita perlu berfikir mengapa Allah memusnahkan kaum Ad dan Tsamud yang dahulunya terkenal sebagai kaum yang terkenal sebagai pengukir batu yang hebat. Ini kerana mereka ingkar dan enggan sujud kepada Allah. Lalu Allah turunkan bala kepada mereka dalam bentuk petir yang dasyat lalu dimusnahkan seluruh kaum Ad dan Tsamud tanpa ditinggalkan sedikit pun sisa zuriat dari keturunan mereka. Betapa hebat dan takutnya azab Allah kepada hamba-hambaNya yang ingkar. Namun begitu, kenapa Allah membiarkan hasil kerja mereka masih utuh sehingga ke hari ini? Kenapa Allah tidak musnahkan sahaja semuanya sekali dan membiarkan keagungan yang mereka kecapi selama ini terbang dek angin dan tidak diketahui langsung kewujudan umat ini oleh umat-umat seterusnya? Ini kerana Allah telah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 38, mafhumNya :

"Dan Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Salih); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas tempat kediaman mereka; dan syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah)."


Dalam ayat ini jelas menunjukkan Allah sengaja meninggalkan segala warisan keagungan mereka yang ingkar kepadaNya hanyalah untuk diinsafi oleh umat-umat seterusnya termasuklah kita. Begitu juga dengan piramid-piramid yang ditinggalkan oleh firaun. Allah bukanlah membiarkan kesan tinggalan orang yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan dan ingin membunuh nabi-nabi yang menyeru kepada Allah ini, untuk dikagumi kesan seni bina yang hebat yang ada pada piramid ini tetapi Allah tinggalkan sisa-sisa ini hanyalah untuk kita sebagai hambaNya untuk menginsafi segala apa yang ada di sebalik kisah kejatuhan umat-umat yang ingkar akan seruan Allah ini. Janganlah kita sebagai umat nabi Muhammad saw dan umat akhir zaman ini turut mengikut jejak langkah umat-umat yang terdahulu. Sama-samalah kita berdoa agar kita diberi syafaat dan diberikan kekuatan untuk menghadapi musuh-musuh Islam yang semakin lama semakin berani menunjukkan taring mereka dalam memusnahkan Islam di muka bumi ini.

No comments: