

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu." (Imam Nawawi)
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Ramai yang pasti khususnya pengundi di Parlimen Putrajaya mengenali Menteri Pelancongan Tengku Adnan Mansor yang terkenal dengan kenyataan 'kontroversi' yang keluar dari mulut seorang muslim yang mengikuti konsep Islam Hadhari.
Beliau secara bijak telah mengeluarkan idea yang amat 'bernas' iaitu mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melanjutkan masa berhibur di pusat-pusat hiburan sampai pukul 5.00 pagi.
Lebih mengejutkan, beliau tanpa rasa segan mahukan kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan cukai arak, supaya harga arak di pasaran menjadi lebih rendah.Kedua-dua alasan ini motifnya untuk pelancongan.
Dua idea 'mantap' ini seolah-olah cuba menjadikan negara ini 'syurga arak' dan 'syurga hiburan' yang akan menyebabkan ramai pelancong-pelancong dari luar negeri berduyun-duyun akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati syurga-syurga tersebut.
Bagaimana idea 'kartun' ini telah dibantah keras oleh PAS termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam lantaran ianya akan mendatangkan musibah besar kepada membiaknya keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang membarah kepada rakyat Malaysia khususnya remaja dan umat Islam.
Walau apa pun, para pengundi perlu mengenali siapa Adnan yang mempunyai idea bernas ini supaya boleh menilai sama ada beliau layak sekali lagi untuk menerajui tampuk kepimpinan khasnya dalam bidang pelancongan hatta sebagai seorang ahli parlimen sekalipun.
Adnan telah dilahirkan di negeri Melaka pada 20hb Disember 1950 pada jam 6.10 pagi dengan surat pendaftaran lahirnya bernombor 100502.
Ketika beliau dilahirkan, namanya ialah Adnan bin Mansor manakala pada tahun 1962, ketika beliau berusia 12 tahun, Adnan mulai memiliki kad pengenalan bernombor 4079409 atas nama sama seperti yang terdapat dalam surat beranak malah ketika menukar kad pengenalan bagi memenuhi kehendak undang-undang pada tahun 1969 namanya masih lagi kekal sebagai Adnan bin Mansor.
Tetapi, pada 3hb Oktober 1972, Adnan telah mengubah namanya menjadi Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan telah membuat akuan bersumpahnya bahawa beliau berasal dari Keluarga DiRaja Melaka.
Adnan merupakan seorang taukeh Sport Toto Malaysia yang diasaskan pada tahun 1969 dengan nama asalnya Unilite Electrical Indusries Berhad.
Pada tahun 1987, syarikat ini bertukar nama kepada Far East Asset Berhad dan dalam penstrukturan semula pada tahun 1992, ia diambialih oleh Berjaya Group dan dikenali sebagai Berjaya Sport Toto Berhad.
Adnan mempunyai saham dalam Berjaya Group Berhad yang memiliki Sport Toto sebanyak 3.5 juta saham melalui syarikatnya yang bernama Cimsec Nominees. Ini menjadikan Adnan terlibat dalam industri perjudian Sport Toto melalui pegangan sahamnya dalam Berjaya Group Berhad.
Sport Toto mempunyai 681 rangkaian kedai judi di seluruh negara dan mempunyai dua syarikat perjudian di luar negara iaitu Philippines Berjaya Toto dan pada tahun 1997 membantu kerajaan Ghana menyusun kegiatan loteri di negara berkenaan.
Adnan dan kerajaan Pahang pada satu ketika dahulu melalui syarikat PASDEC Holding Berhad pernah memiliki saham dalam Bukit Tinggi Resort Berhad milik penuh Vincent Tan yang bergiat dalam kegiatan berjudi 'mesin slot', tetapi disebabkan oleh bantahan orang ramai, maka Adnan melepaskan pegangannya dalam bentuk saham dan kerajaan Pahang menjual sahamnya pada 23hb Mei 2003.
Apapun sepatutnya Adnan sedar akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria bahawa orang Melayu-Islam telah membelanjakan RM4 bilion setahun untuk minum arak dan berjudi dan situasi gawat umat Islam ini sangat-sangat membimbangkan.
Sungguhpun begitu terpulanglah kepada para pengundi untuk mebuat penentuan di hari pengundian 8 Mac ini untuk membuat pilihan yang betul dan tepat dalam soal memilih pemimpin.
Masa untuk berubah!Najib berada di Kelantan semalam (Ahad). Dalam ucapannya ketika berkempen di Pasir Puteh, dia cuba membandingkan Islam yang dilaksanakan kerajaan BN dengan Islam yang diterimapakai kerajaan Kelantan pimpinan PAS.
Kata Najib, BN lebih realistik dalam melaksanakan Islam. Sedangkan PAS melaksanakan Islam sekadar luaran dan lebih mementingkan akidah. Ada pun BN, kata dia, lebih mengutamakan kemajuan dan pembangunan negeri. Itu antara yang disebutkan beliau.
Kita tidak pasti sejauh manakah rakyat negara ini, khususnya di Kelantan, dapat menerima penilaian dan penegasan dibuat Najib itu. Apakah benar Islam dilaksanakan BN lebih realistik?
Persoalan itu sebenarnya tidak sukar diulas atau dibuat penilaian. Rakyat sudah tahu corak dan bentuk Islam diterimapakai BN sejak sekian lama. Rakyat juga sudah dapat melihat bentuk Islam yang diterap dan dilaksanakan PAS di Kelantan. Beza antara kedua-duanya boleh diperhalusi rakyat sendiri.
Untuk memudahkan keadaan, berikut disenaraikan semula beberapa prinsip asas atau teras pelaksanaan Islam oleh BN, yang dikatakan 'realistik' oleh Najib itu:
Pertama, bukan semua hukum, peraturan dan nilai Islam relevan dengan zaman sekarang. Pelaksanaan 'Islam Realistik' mestilah dibuat secara selektif. Apa-apa yang dirasakan sesuai dan menguntungkan BN, akan dilaksanakan. Mana yang menyusah atau merugikan kerajaan, perlu ditinggalkan.
Bank Islam adalah institusi kewangan berkonsep Islam. Ia aktiviti ekonomi yang menguntungkan negara. Universiti Islam boleh melonjakkan nama negara di mata dunia, terutama di kalangan negara-negara Islam. Ia boleh memberi mileage politik kepada BN.
Penghapusan riba dan arak pula bukan langkah bijak. Ia akan mengurangkan hasil negara. Justeru, walau pun hukum agama mengatakan ia haram, hukum itu perlu dikompromikan dengan keadaan ekonomi negara. Barulah Islam kita 'realistik'dengan zaman kini.
Kedua, wanita Islam tidak perlu menutup aurat. Para pemimpin wanita, terutama isteri-isteri kepada pemimpin utama negara, menteri, timbalan mahu pun ahli parlimen wanita tidak perlu 'dibungkus-bungkus'.
Para peneraju institusi utama negara, seperti naib-naib canselor institusi pendidikan, hakim dan majistret, peneraju sektor korporat dan lain-lain mesti berimej global (tanpa tudung).
Imej bertudung adalah kuno, tidak bertepatan dengan perkembangan zaman dan membatasi kebebasan bergerak. Ia sebenarnya tradisi Arab dan tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam. Wanita bertudung tidak realistik dengan perkembangan zaman.
Ketiga, ulama tidak boleh dijadikan pemimpin negara. Tempat ulama hanya di pondok, masjid dan madrasah. Kalau ada ulama yang berhasrat menyertai politik parti pemerintah, ulama itu mesti dengar cakap dan tunduk kepada arahan pemimpin.
Ulama mesti dipimpin, bukannya memimpin. Barulah mereka dianggap 'realistik' dengan keadaan semasa.
Andai ada ulama yang lantang memperbetulkan kerajaan atas prinsip dan hukum Islam, ulama itu mesti dipecat atau disingkirkan. Yang pegang jawatan dalam kerajaan mesti ditamatkan khidmat. Yang menjadi wakil rakyat mestilah digugurkan.
Ingat lagi apa jadi kepada bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom dalam kes berhadapan tiga ratu cantik dulu? Apa pula rasional di sebalik pengguguran beberapa tokoh agama Umno sebagai calon pilihan raya kali ini?
Keempat, judi adalah sesuatu yang sangat sentimental dengan masyarakat negara. Jangan sekali-kali bercita-cita untuk mengharamkannya.
Membenarkan judi bererti kita meraikan keperluan rakyat bukan Islam. Judi juga menjadikan negara kita terkenal di dunia. Kita ada pusat judi tercanggih atau terbesar di rantau ini. Negara menjadi tumpuan 'tahi judi' antarabangsa walau pun Perdana Menteri kita Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Itulah 'Islam Realistik' namanya!
Menyediakan tempat judi ibarat keperluan menyediakan tandas. Jika tidak disediakan kemudahan untuk itu, orang ramai akan terpaksa membuang air merata tempat.
Bagi mengelakkan rakyat berjudi merata tempat, mereka perlu disediakan tempat khas. Logik 'bangang' itu pernah disebut seorang ulama Umno yang juga bekas Menteri Besar sebuah negeri.
Paling penting, judi memberikan hasil lumayan kepada negara. Ribuan juta hasil judi itu boleh dimanfaatkan untuk kemajuan dan pembangunan. Tengok Kelantan, betapa ia tidak maju dan tidak membangun apabila PAS tidak mendapat hasil daripada aktiviti judi. Sebab itu Islam dilaksanakan PAS, kata Najib, tidak realistik!
Kelima, 'Islam realistik' perlu membenarkan lelaki dan wanita bukan mahram bergaul secara bebas.
Contoh yang hidup di atas prinsip ini ialah apa yang dilakukan Imam Nombor Satu BN. Di satu ketika, dialah imam, dialah wali. Di ketika lain, dia pun peluk wanita, pimpin tangan, pegang bahu dan paut pinggang wanita bukan mahram.
Itulah mesra namanya. Islam begitulah yang dianuti BN. Itulah 'Islam Realistik' menurut pendirian Najib.
Prinsip ini tidak diterimapakai kerajaan Kelantan. Sebab itu Kelantan tidak maju. Menteri Besarnya, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz, tidak pernah pegang tangan wanita. Ustaz Nik Amar, Exconya juga tidak menunjukkan sikap mesra terhadap Maya Karin, pelakon yang berkunjung ke Kelantan beberapa bulan lalu. Sepatutnya Ustaz Nik Amar bersalam atau pegang tangan Maya, barulah nampak mesra, bukan?
Kelantan turut mengasingkan tempat duduk lelaki-wanita dalam majlis rasmi, perhimpunan dan seumpamanya. Ini juga tidak 'realistik', berdasarkan pendirian Najib itu.
Kelantan juga mewujudkan kaunter bayaran berasingan mengikut gender di pasaraya-pasaraya. Akibatnya semua gedung beli-belah di Kelantan lengang dan tidak dikunjungi pelanggan. Ia hanya menunggu masa untuk ditutup. (Ehem!)
Bagi memulihkan keadaan ini, Kelantan mesti diperintah BN. Hanya BN boleh melaksanakan Islam yang 'realistik'.
Keenam, apabila bertembung antara tuntutan agama dengan kepentingan politik atau negara, maka hukum agama perlu dikompromi. Kepentingan politik dan negara mesti diutamakan.
Kes Perhimpunan Agung Umno bertembung dengan solat Jumaat adalah contoh klasik betapa Islam diamalkan Umno sangat realistik. Mereka mengundi bagi menentukan sama ada ramai bersetuju mesyuarat diterus atau ditangguhkan untuk solat Jumaat.
Kes seorang perenang Malaysia menyeberangi Selat Inggeris beberapa tahun lalu juga satu contoh. Tidak mengapa meninggalkan solat fardhu kerana mengangkat nama negara di mata dunia. Itu fatwa penasihat agama kerajaan mengenai kes itu. Ulama macam ni lah contoh ulama realistik!
Ketujuh, maksiat adalah tanda kemajuan negara. Dalam keadaan tertentu, ia adalah penguji keimanan. Menutup tempat maksiat bukan sahaja tidak realistik dengan perkembangan zaman, bahkan turut menutup ruang umat Islam diuji keimanan mereka. Ia sekaligus menyebabkan lahirnya umat tidak kompeten dan tidak teruji.
Sebab itu ada pandangan mengatakan di antara sebab mengapa Kota Bharu tidak layak diiktiraf sebagai bandaraya ialah kerana ia belum cukup jumlah pusat maksiat. Lihatlah Kuala Terengganu, meski pun prasarana, perkembangan ekonomi, jumlah penduduk dan beberapa kriteria sosio-ekonomi lain jauh terkebelakang berbanding Kota Bharu, ia sudah boleh diiktiraf sebagai bandaraya.
Dalam dunia moden, penilaian kemajuan sesuatu tempat atau negeri diukur berdasarkan status bandar yang ada. Sudah tentu negeri yang ada bandaraya dianggap lebih maju dan ke hadapan berbanding negeri yang tiada bandaraya.
Jika rakyat Kelantan mahu Kota Bharu diiktiraf sebagai bandaraya, berilah peluang BN memerintah. Nescaya dalam masa singkat parti itu akan membuka pusat-pusat maksiat dengan banyak. Islam sebegitulah yang lebih 'realistik' dengan tuntutan kemajuan, sebagaimana diimpikan Najib dan BN.
Ada banyak lagi teras atau prinsip 'Islam Realistik' dilaksanakan BN. Penulis percaya para pembaca sendiri boleh menyenaraikannya lebih panjang.
Apa yang penting, bagi menentukan Islam yang tepat, umat Islam perlu mendalami al-Quran, menyelami hukum Tuhan.
Apakah kita perlu menggadai prinsip agama semata-mata untuk dilihat 'realistik' terhadap perkembangan zaman? Apakah kita tidak akan dapat menyesuaikan diri dengan dunia semasa kiranya terus berpegang kepada Islam?
Jangan perjudikan masa depan agama. Rakyat negara ini, terutama di Kelantan jangan buat eksperimen dan cuba-cuba memilih BN, walau pun untuk satu penggal. Sekali negeri punah, amat sukar untuk diperbaikinya kembali.Jawapan | Saudara telah membuat andaian berdasarkan kepada pemikiran sendiri. Pemikiran sedemikian mungkin dipengaruhi oleh keadaan politik semasa yang senantiasa bergolak.
Saya memahami orang pemahaman seperti saudara memang wujud dalam masyarakat kita.
Pemahaman ini wujud kerana teori politik secara umumnya adalah bersifat kebendaan. Ia bersifat sekular.
Sekular adalah suatu sistem yang difahami memisahkan agama daripada kehidupan.
Keseluruhan pemikiran politik yang diteraskan kepada materialisme yang melahirkan fahaman sekular adalah diasaskan ahli-ahli politik Barat, diasaskan kepada akal dan menolak wahyu sebagai alat berpolitik.
Oleh kerana itu, agama kepada sesetengah ahli politik Barat, tidak boleh dicampurkan dengan politik.
Wahyu sebenarnya di luar jangkaan akal manusia. Akal tidak mampu memahami kehendak wahyu. Manusia yang beriman perlu mengambil wahyu sebagai jambatan pengabdian terhadap Allah SWT.
Kefahaman yang diterapkan golongan orientalis menerima wahyu hanya untuk digunakan menyembah Allah, manakala mentadbir negara digunakan akal yang kononnya rasional.
Sekular adalah hasil ciptaan pemikir Barat yang berasaskan realiti dalam masyarakat Barat, khususnya di abad pertengahan sebelum zaman Kebangkitan Eropah (European Renaissance).
Pada zaman itu, masyarakat Eropah dikongkong oleh kuasa gereja. Gereja yang menentukan segala-galanya.
Orang-orang gereja (para Pope) yang paling berkuasa. Kata-kata dan tindakan mereka betul semuanya, tidak boleh disanggah walaupun ia tidak rasional.
Pemikir-pemikir politik Barat, sedar akan kemunduran kerana dijajah oleh keagamaan Kristian yang banyak tidak rasional terhadap mereka, menyebabkan negara mundur.Dari sinilah lahirnya fahaman sekular yang memisahkan penghidupan dengan agama, sekali gus memisahkan agama daripada politik (daripada kalangan Kristian).
Meskipun itu boleh berlaku dalam masyarakat Barat yang berpegang dengan fahaman Kristianiti, ia berbeza dengan agama Islam.
Islam adalah agama yang secara tabi'enya sesuai dengan tabiat di dunia dan penghidupan manusia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat.
Firman Allah (mafhumnya): "Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan (mengikut agama Allah), iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dalam keadaan semula jadinya) untuk menerimanya; tidak patut ada sebarang perubahan kepada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah ar-Rum, ayat 30)
Ini memberi isyarat bahawa agama Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Hukum-hukumnya rasional, mudah diterima akal dan rasional.
Tercatat dalam sejarah Islam dilaksanakan dengan masyarakat manusia, sejarah sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. berpindah ke Madinah pada Tahun 1 Hijrah (622 M), terus menerus dilaksanakan dengan jayanya dan tersebar hingga ke seluruh dunia.
Islam berkembang dari Asia ke Afrika, ke Eropah ke Timur.
Sehingga Kerajaan Uthmaniyah di Turki, di bawah pemerintah sultan terakhir digantikan pemerintahan i'lmaniyyah (sekular) Mustafa Kamal Ataturk pada tahun 1924.
Ketika itu lenyaplah negara Islam yang sebenar, melainkan tinggal beberapa buat negara sahaja.
Pemikiran politik Islam bertitik tolak daripada kefahaman Islam yang tidak memisahkan Islam daripada pemerintahan.Ia bersatu dalam satu perkataan di istilahkan sebagai Ad-Din, cara hidup yang lengkap, terungkap seperti firman Allah (mafhumnya): "...Pada hari ini, Aku (Allah) telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku terhadap kamu, dan aku reda Islam menjadi ad-Din kamu (cara hidup yang sempurna)..." (Surah al-Maaidah, ayat 3)
Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik, memerintah cara Islam.
Jika kita menolak pegangan ini dan memilih yang lain, ia bermakna menolak ketetapan Allah dan merendah-rendahkan agama, seolah-olahnya cara hidup ciptaan manusia, lebih sempurna dari ciptaan Allah.
Merendah-rendahkan agama Allah boleh menyebabkan kerosakan akidah.
Oleh itu maka pemilihan untuk menyokong sesebuah parti politik dan berjuang untuknya mesti dibuat berasaskan keputusan yang betul, bukan semata-mata terpengaruh dengan arus masyarakat.
Jangan sesekali menyokong sesebuah parti yang perjuangannya mendorong hanya kepada kesenangan dunia, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu menjadi penentang kepada perjuangan Islam. Wallahua'lam.