Tuesday, April 24, 2007

Penggunaan putik kapas boleh jejas pendengaran

SEIRING dengan perkembangan kemajuan negara, masyarakat Malaysia juga
semakin mengambil berat dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan
diri. Limpahan produk di pasaran boleh dikatakan lebih daripada
mencukupi.

Apa yang menarik perhatian untuk saya kongsi bersama ialah berhubung
penggunaan putik kapas (cotton bud) sebagai alat untuk membersihkan
telinga.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan klinik telinga, hidung dan tekak,
masalah pesakit yang datang dengan kurang deria dengar boleh dikatakan
ada setiap hari. Daripada mereka seawal usia baru lahir sehingga ke
warga emas, punca yang pelbagai juga dikesan menjadi sebab berlakunya
masalah ini.

Satu punca yang boleh diatasi dan didapati kerap berlaku di kalangan
pesakit kurang dengar ialah masalah saluran telinga luar tersumbat
dengan 'tahi telinga', atau lebih tepat lagi lilin telinga (ear wax)
yang sudah termampat.

Menerusi soal selidik dijalankan, hampir semua daripada mereka mengakui
menggunakan putik kapas secara rutin dan berterusan. Mereka, atau kita
juga mungkin beranggapan putik kapas digunakan akan dapat membersihkan
saluran telinga daripada lilin telinga yang terhasil secara fisiologi.

Di sinilah timbulnya kesilapan. Putik kapas yang digunakan sebenarnya
menolak masuk lebih ke dalam lilin telinga dan hanya sedikit yang
melekat padanya dan dikeluarkan. Sedangkan, saluran telinga kita sudah
dicipta lengkap dengan mekanisme rerambut halus yang berfungsi dalam
gerakan ke arah keluar telinga bagi mengeluarkan lilin yang berlebihan.

Penggunaan putik kapas dalam gerakan ke dalam yang melawan arus
fisiologi akan menyebabkan kegagalan fungsi normal ini dan seterusnya
menyebabkan sedikit demi sedikit, lilin telinga akan tertolak semakin ke
dalam, termampat ke arah gegendang telinga dan seterusnya mengganggu
konduksi bunyi daripada punca rangsangan.

Keadaan ini disebut gangguan pendengaran jenis konduktif ( conductive
hearing loss ).

Satu lagi masalah yang timbul daripada penggunaan putik kapas ini ialah
ada kemungkinan bahagian kapasnya itu tertanggal dan tertinggal di dalam
saluran telinga. Ia juga akan mengganggu pendengaran dan jika terbiar
lama akan mengundang jangkitan kuman pula. Jadi, berhati-hatilah
menggunakan putik kapas terutama kanak-kanak.

Selaras dengan slogan 'Mencegah lebih baik daripada merawat', marilah
sama-sama kita menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan mendalami
ilmu yang sahih daripada autoriti yang tepat. Kita sudah dicipta dalam
sebaik-baik keadaan dan sifat, justeru menjadi tanggungjawab kitalah
untuk menjaganya dengan selamat.

DR IRFAN MOHAMAD,

Jabatan ORL-HNS (ENT)

Hospital Universiti Sains Malaysia

Kota Bharu, Kelantan.

No comments: